7 remaja bawah umur antara ditahan merempit hari pertama PKPD

0
1

SERAMAI 31 individu termasuk tujuh remaja bawah umur ditahan dalam Op Khas Motosikal di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor, semalam.

Operasi di Jalan Sultan Alaiddin bermula jam 5.30 petang hingga 10.30 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata hasil operasi itu, polis menahan 31 individu terdiri daripada 30 lelaki dan seorang remaja perempuan.

“Ketika operasi, ada yang cuba melarikan diri tetapi polis sudah kepung, jadi mereka tidak dapat keluar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan mendapati tujuh daripada 31 individu yang ditahan adalah remaja bawah umur termasuk seorang perempuan berumur 16 tahun.

“Kesemua individu yang ditahan adalah warga tempatan berumur antara 13 tahun hingga 23 tahun.

“Dalam operasi itu, 26 motosikal ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Nurulhuda berkata, sebanyak 76 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta 20 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, 22 kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berkumpul di tempat awam tanpa hala tuju,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here