Polis sudah kenalpasti 2 lelaki lari dari kawasan PKPD

0
1

POLIS malam ini mengedarkan gambar dua daripada tiga lelaki yang melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di ibu negara.

Seorang daripada suspek dikenalpasti berusia 34 tahun yang memiliki enam rekod jenayah berkaitan dadah dan pelbagai jenayah lain antaranya samun dan curi.

Seorang lagi pula berumur 46 tahun dan mempunyai sembilan rekod jenayah iaitu pecah rumah dan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan, seorang lagi individu yang melarikan diri sedang dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata usaha mengesan kesemua individu berkenaan sedang giat dijalankan.

“Kes ini masih dalam tindakan penyiasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata pada jam 4.51 petang tadi, satu laporan polis dibuat berkaitan video tular melibatkan tiga individu berkenaan yang dilihat keluar dari kawasan PKPD.

Katanya, siasatan awal mendapati video tular berdurasi dua minit empat saat itu memaparkan dua suspek yang telah dikenalpasti serta seorang lagi individu melarikan diri menerusi kawat berduri yang diletakkan di sekeliling blok berkenaan.

“Pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat dawai besi telah rosak dan dipercayai digunakan oleh tiga individu berkenaan untuk melarikan diri.

“Orang awam dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular melibatkan tiga individu yang melarikan diri itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here