Hak individu kahwin lagi, sepatutnya lebih peka keadaan rakyat

0
1

PEMIMPIN terutama wakil rakyat dinasihat agar lebih sensitif ketika rakyat sedang menghadapi kegetiran melawan pandemik Covid-19 daripada mengutamakan ‘kahwin satu lagi’.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, walaupun urusan berkahwin adalah hak individu, namun sebagai wakil rakyat wajar untuk menunjukkan contoh yang baik dengan lebih peka dengan senario yang berlaku terhadap rakyat ketika ini yang kian merana sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keutamaan ketika ini adalah fokus membantu rakyat, terutama Covid-19 dilihat semakin parah dengan ramai rakyat bertindak membunuh diri malah ramai merungut tiada makanan,” katanya dipetik FMT, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang Ahli Parlimen bernikah dengan seorang wanita di negara jiran susulan tular surat pernikahan yang bertarikh pada 1 Jun di media sosial.

Turut tersebar di media sosial ialah video yang memaparkan seorang individu sedang melafazkan akad secara dalam talian, melibatkan seorang jurunikah daripada negara jiran dan dua saksi.

Dalam pada itu, dakwaan Ahli Parlimen itu berkahwin baharu mengundang reaksi negatif warganet di media sosial.

“Hal tambah bini lagi penting daripada nasib rakyat yang kehabisan duit, bila angkat bendera putih dimarahnya,” kata seorang pengguna Facebook, Khairul Naim.

Seorang lagi warganet, Sabariyah pula menyindir bahawa menambah pasangan bagaikan untuk mengisi masa terluang di rumah ketika perintah berkurung.

“Ambil peluang PKP…baru berbaloi duduk rumah. Itu bagi mereka yang di kayangan…tetapi bagi rakyat yang susah, beras dah habis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here