MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang mengerah setiap anggotanya mengenalpasti penduduk terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Ia membuktikan setiap jentera kerajaan hari ini sedang bertungkus-lumus dan mengerah segala sumber bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, untuk kawasan Parlimen diwakilinya, beliau akan terus mendukung inisiatif membantu penduduk dan mengalu-alukan koordinasi dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.
“Buat masa ini, mana-mana individu atau keluarga yang memerlukan bantuan makanan, boleh terus hubungi talian hotline Pusat Khidmat Parlimen Ampang di 011-23319746 / 03-42655737,” katanya.
Semalam Arjunaidi dilaporkan berkata Polis Selangor komited mengenal pasti penduduk mengalami kekurangan makanan atau menghadapi masalah lain akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata telah mengarahkan anggotanya untuk mengenal pasti penduduk yang terjejas, malah usaha sedemikian akan dipertingkatkan.
Katanya, ini bagi membolehkan bantuan boleh segera disampaikan kepada mereka. – Malaysiapost

