PKPD di PPR Kerinchi tidak guna kawat berduri

0
2

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, tidak menggunakan kawat berduri, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. 

Beliau berkata, ia kerana terdapat 14 kawasan yang dikenakan PKPD di Kuala Lumpur, berkuatkuasa secara serentak bermula hari ini. 

Maklumnya, beliau telah melawat ke tapak subtek PKPD PPR tersebut pada jam 11 malam tadi untuk melihat tahap persiapan PKPD. 

“Oleh itu, penduduk PPR Kerinchi diingatkan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan terus duduk di dalam rumah. 

“Selain polis, anggota tentera juga akan meronda kawasan PPR Kerinchi lengkap dengan senjata. 

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengaktifkan medical base di dua lokasi dalam masa sehari dua untuk sebarang isu kesihatan penduduk,” katanya menerusi Facebook. 

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) akan menghubungi setiap ketua blok untuk mengaturkan bantuan makanan.  

“Insya-Allah saya akan sediakan 600 set bakul makanan awal minggu depan,” katanya. 

Berkaitan Bazaria Pantai, beliau berkata, Pegawai Medan telah memutuskan lokaliti itu adalah sebahagian daripada kawasan PKPD. 

“Justeru ia bermaksud kawasan ‘zon merah’. Orang luar tidak dibenarkan masuk, manakala peniaga Bazaria Pantai yang tinggal di PPR Kerinchi dibenarkan beroperasi.  

“Pegawai Medan juga memutuskan Grab dan Foodpanda akan dibenarkan menghantar makanan sahaja, hingga ke pos kawalan pintu utama sebelah Perpustakaan Lembah Pantai. Peniaga Bazaria Pantai buat masa ini tidak dibenarkan menghantar makanan ke luar secara Foodpanda atau Grab,” katanya. 

Sehubungan itu, Fahmi turut mengingatkan Penduduk PPR Kerinchi, iaitu hanya satu wakil keluarga dibenarkan  membeli barang di kedai runcit, makanan atau mengambil makanan dari rider Foodpanda atau Grab di pos kawalan pintu utama. 

“Manakala yang mempunyai temujanji vaksin antara 3-16 Julai, anda perlu menjadualkan semula tarikh tersebut. Sila berhubung dengan ketua blok masing-masing untuk info lanjut. 

“Insya-Allah saya akan terus pantau dan ambil apa-apa tindakan yang perlu untuk membantu warga Lembah Pantai yang kini berada dalam PKPD,” katanya.- Malaysiapost

Sumber foto: FB/Fahmi Fadzil

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here