POLIS Johor mengeluarkan kompaun berjumlah RM770,000 hasil pemeriksaan terhadap 120 premis dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) atau Op Patuh di negeri itu dalam tempoh dua hari.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ia hasil 77 kompaun dikeluarkan dengan 48 daripadanya kepada pemilik premis dan 29 lagi melibatkan pekerja atau pelanggan.
Beliau berkata, empat premis diarah tutup serta-merta kerana kesalahan melanggar SOP utama.
Secara keseluruhan, katanya, 120 premis diperiksa melibatkan 100 kilang, 14 premis perniagaan, tiga pasar raya dan tiga terminal bas.
“Lima kompaun dikenakan kerana melebihi kapasiti datang bekerja 60 peratus. Tiga kompaun terhadap salah guna surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Sebanyak 42 kompaun tidak patuhi SOP asas serta 27 kompaun langgar syarat Akta Kerajaan Tempatan,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Polis Johor hari ini.
Ayob Khan berkata, operasi sejak kelmarin itu dipimpin ketua polis daerah melibatkan 22 operasi dengan bantuan 503 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seramai 181 petugas lagi dari agensi lain seperti Kementerian KKM), Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Angkatan Pertahanan Awam. – Malaysiapost

