MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menafikan beliau mengarahkan supaya “jangan” menghantar makanan kepada penduduk negeri itu yang mengibarkan bendera putih.
Jelas Muhammad Sanusi, kenyataan itu bukan dari beliau, tetapi dirinya dituduh menyatakan perkara berkenaan.
“Saya tak katapun apa yang depa (mereka) kata saya kata tu, depa yang kata saya kata, tapi saya tak kata pun apa yang depa kata saya kata tu.
“Ada macam-macam kata-kata yang saya tak kata tapi depa kata saya kata tapi sebetulnya saya tak kata… Depa yang kata saya kata. Tanyalah depa pasai apa depa kata saya kata.
“Ini contoh kata-kata depa tapi depa kata saya kata tapi saya tak kata pun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak yang menuduhnya tanpa usul periksa agar bermunasabah diri dan insaf di atas perbuatan mereka.
“Mungkin depa terlupa tentang dosa pahala dan syurga neraka… semoga mereka insaf dan bertaubat.
“Sesungguhnya saudaraku si polan bin si polan… mati itu benar, soal jawab kubur itu benar, azab kubur itu benar, dihimpunkan di padang mahsyar itu benar, menerima buku cacatan itu benar, hisab itu benar, titian siratul mustaqim itu benar, syurga itu benar dan neraka itu pun benar,” katanya.
Terdahulu, terdapat perkongsian di laman sosial mendakwa Kerajaan Kedah dilaporkan tidak akan mengirimkan bantuan kepada sesiapa yang mengibarkan bendera putih untuk meminta pertolongan.
Laporan tersebut menyebut Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, hanya mereka yang memohon bantuan melalui telefon ke saluran rasmi Pusat Operasi Kawalan Bencana (PKOB) akan diberi bantuan makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa. – Malaysiapost

