VIDEO seorang lelaki memberi syarat “kena solat dan menjawab soalan-soalan berkaitan agama” kepada beberapa individu jika ingin bantuan, tular di media sosial hari ini.
Video berdurasi seminit 50 saat itu dikongsi pengacara dan pelakon, Nazrudin Habibur Rahman di Twitternya @NazrudinRahman, hingga menimbulkan reaksi kurang senang pengguna di laman sosial tersebut.
Dalam video tersebut, individu memakai jubah dan berkopiah itu bertanya rukun iman dan niat solat fardu Maghrib kepada dua individu lelaki.
Dia juga seakan menuduh ramai dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan tersebut tidak solat.
“Nak minta ibu ayah (individu menerima sumbangan), bukan saya minta undi daripada kamu… saya bukan nak jadi YB, saya bukan kerajaan, persendirian saya buat.
“Ibu cuba bayangkan beras RM27 campur semua ini lebih kurang RM50. Saya sudah berikan ini barang ibu… kalau hari ini saja 20 bungkus barangan keperluan jadi dah berapa ringgit… RM500.
“Bukan RM500 ibu… ribu sudah duit… Saya nak apa dia! Saya nak kamu solat saja, boleh? Majoriti tak solat! Abang solat tak bang… okay abang baca kepada saya Rukun Iman berapa.. abang sebut satu, apa dia.
“Abang… baca niat solat fardu Maghrib. Niat dia macam mana dalam bacaan Arab, tadi kau bilang kau solat, jadi dalam Bahasa Arablah. Mana boleh Melayu (dalam nada marah). Saya guru agama bang,” katanya dalam video tersebut.
Sehubungan itu, Nazrudin mempersoalkan tindakan individu terbabit yang disifatkan angkuh dan tidak berperimanusiaan.
“Aku jijik dengan keangkuhan, terutama dari golongan ‘terpelajar’. Orang tengah kebulur, dia boleh bagi syarat kena solat? Kena jawab kuiz agama sebelum mendapat bantuan?
“This is wrong. So so wrong astaghfirullah. Di mana hilangnya ikhlas dan perikemanusiaan?,” soalnya.
Rata-rata netizen tidak berpuas hati terhadap lelaki berkenaan yang dianggap mengaibkan orang lain.
Pengguna Twitter, Sauron berkata: ketika ini baru nampak bagaimana sikap geng begini layan orang yang seagama dengan dia.
“Orang tengah susah bagai. Datang bagi takzirah pulak. Rasa malu betul tengok keadaan macam ni. Boleh tak paling kurang dia cuba jadi manusia?. Panas pulak tengok video ni,” katanya.
Sementara Hazwan Yassin berkata: Nak nasihat orang untuk solat itu bagus tetapi caranya tidak kena.
“Ia membuatkan orang tak suka untuk dekat dengan golongan agama. Pelik aku kebelakangan ini banyak keluar keluar berita macam ini,” katanya. – Malaysiapost
Sumber foto: TW/Nazrudin Rahman

