PENIAGA Nasi Lemak Bujang, Mohd Nor Abdullah atau lebih dikenali Dek Mat yang cacat kedua-dua tangan kini tidak dapat berniaga seperti biasa akibat kesan pandemik Covid-19.
Nasi lemak dijual lelaki berusia 29 tahun itu pernah tular di media sosial susulan kecekalannya berniaga walaupun tidak sempurna seperti insan lain.
Menerusi perkongsian oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Dek Mat tidak dapat meneruskan jualan nasi lemak disebabkan pembekal tidak dapat membuat penghantaran kepadanya.

Sehubungan itu, Najib yang pernah menikmati nasi lemak di gerai milik Dek Mat berhampiran dengan Transit Aliran Ringan (LRT) stesen Cheras di ibu negara, tampil menghulurkan sumbangan.
“Alhamdulillah, pegawai dan kakitangan di pejabat saya telah menyampaikan sedikit bantuan kepada Dek Mat pagi ini.
“Semoga dapat mengurangkan sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung oleh Dek Mat tatkala semua terkesan di era pandemik yang mencabar ini.
“Moga Dek Mat dan yang terjejas teruk dimurahkan rezeki dengan sumbangan-sumbangan orang ramai,” tulis Ahli Parlimen Pekan itu di Facebooknya hari ini.

Kisah kecekalan peniaga istimewa itu menjadi inspirasi kepada orang ramai, malah mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Dek Mat dihadiahkan ‘gerai Mary’ bagi memudahkannya untuk berniaga. – Malaysiapost
Sumber foto: FB/Najib Razak

