KEBENARAN jumlah jemaah dan prosedur operasi standard (SOP yang dihadkan untuk sesebuah masjid tidak dikawal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Persekutuan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara tersebut sebaliknya terletak di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam negeri.
Beliau berkata, ini kerana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa hal ehwal agama Islam peringkat negeri di bawah kuasa Raja negeri-negeri.
“Jadi untuk menentukan SOP, jumlah jemaah, akiviti masjid dan sebagainya ia tertakluk kepada kerajaan negeri-negeri,” katanya dalam sidang media khas bersama Menteri Kewangan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan berhubung kekeliruan SOP masjid yang berkuatkuasa di setiap negeri.
Ismail Sabri berkata, pihaknya mendapat banyak aduan dan permintaan untuk mengubah dan melonggarkan SOP yang berkuatkuasa di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sila rujuk SOP di setiap negeri supaya cadangan untuk longgarkan SOP dan sebagainya boleh dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri,” katanya. – Malaysiapost

