Polis nafi wujud ugutan penduduk kibar bendera putih

0
2

POLIS Pahang menafikan wujud ugutan terhadap penduduk berhubung isu pemasangan bendera putih di Bukit Setongkol di Kuantan, Pahang sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penduduk hanya diminta menurunkan bendera tersebut kerana dipasang pada tiang elektrik.

Beliau berkata, polis tiada halangan untuk bendera putih dikibarkan kerana tidak ada dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan perbuatan itu salah atau melanggar undang-undang setakat ini.

“Tidak ada halangan daripada pihak polis sebenarnya dan saya telah mengarahkan supaya tidak ada sebarang tindakan dibuat sekiranya bendera putih ini dikibarkan di tempat-tempat sepatutnya,” katanya dalam kenyataan.

Ramli berkata, tindakan hanya akan diambil sekiranya pemasangan bendera akan menyebabkan halangan lalulintas dan sebagainya.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Bukit Setongkol, Kamaluddin Ahad berkata, penduduk hanya diberi nasihat dan meminta bendera putih itu diturunkan kerana ia dipasang pada tempat yang tidak sesuai.

Menurutnya, bendera tersebut dipasang kira-kira 50 hingga 60 meter dari rumah dan di tempat awam sekali gus akan memberi makna yang kurang tepat serta boleh menimbulkan persepsi negatif kepada umum.

“Jadi kami minta mereka turunkan dan tidak berlaku ugutan sebagaimana didakwa,” katanya.

Kamaluddin berkata, dia sendiri hadir bersama ahli jawatankuasa JKKK dan pihak polis untuk memberi sumbangan.

“Saya dan pihak polis minta butiran mereka yang terlibat untuk disalur bantuan sewajarnya.

“Mungkin timbul salah faham penduduk dan ia diambil kesempatan pihak tertentu untuk sebarkan cerita tidak benar,” katanya.

Semalam, media melaporkan tindakan 13 keluarga di Bukit Setongkol menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan tidak disenangi pihak tertentu hingga diarah menurunkan bendera berkenaan semalam.

Tindakan penduduk itu dikatakan satu kesalahan dan saman boleh dikeluarkan jika bendera yang dipasang gagal diturunkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here