KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan komitmen dan jaminan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempergunakan persidangan Parlimen untuk agenda politik peribadinya.
Wan Saiful berkata, ketika ini beliau melihat Anwar dan Pakatan Harapan (PH) bersungguh-sungguh cuba memposisikan diri sebagai menyokong titah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu persidangan Parlimen.
Katanya, ia sekali gus menyerlahkan hipokrasi mereka kerana Anwar dan PH hakikatnya didakwa tidak pernah serius mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
“Sebelum ini Anwar dan PH dilihat tidak serius apabila ahli parti mereka menghina institusi Raja-Raja Melayu. Anwar dan pemimpin PKR hanya menegur kosong sahaja ahli PKR seperti Iswardy Morni yang begitu biadap menghina Agong dan Permaisuri Agong beberapa bulan lalu.
“Malahan ada juga mereka mempertahankan individu yang jelas biadap terhadap Agong. Ini mencerminkan karekter sebenar Anwar dan anak-anak muridnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau menyifatkan Anwar adalah seorang indvidu yang menyokong hanya ketika sesuatu perkara itu menguntungkan dirinya sendiri.
“Saya syak Anwar dan anak-anak muridnya begitu galak menyokong kali ini kerana sudah tidak sabar untuk menyambung usaha menggugat kestabilan negara demi untuk merampas kerajaan.
“Walaupun Agong dan rakyat mahukan semua pihak berhenti berpolitik sementara negara berperang dengan pandemik Covid-19, Anwar dan muridnya masih rakus ingin merampas kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saifu berkata, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa sidang parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.
“Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa terbuka menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak untuk kebaikan bersama.
“Adakah Anwar sanggup beri jaminan bahawa segala rencana politik peribadi akan dihentikan?,” katanya.
Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen&Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan persidangan Parlimen diputuskan untuk diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.
Jelas Takiyuddin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan untuk memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.
“Sehubungan itu Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021,” katanya. – Malaysiapost

