SEMUA pihak wajib menghadapi wabak yang membunuh dengan mengambil langkah kawalan pergerakan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, tindakan itu sangat penting demi menjaga nyawa manusia daripada jangkitan dan penularan wabak penyakit, bukan sahaja melindungi diri daripada pembunuhan melalui peperangan atau pergaduhan.
“Maka, kaedah yang sama wajib dilaksanakan pada hari ini dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 yang merebak ke seluruh pelosok dunia.
“Kewajipan ini adalah perintah yang mengikut hukum Islam, bukan sahaja berdasarkan undang-undang ciptaan manusia,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS yang dimuanaik di Facebooknya hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut memetik Surah al-Ma’idah ayat 32 yang menunjukkan bahawa membunuh adalah sangat besar dosanya.
Maka, katanya, tanggungjawab dan kewajipan untuk menyelamatkan nyawa manusia lain juga besar ganjaran pahalanya.
“Hal ini secara tegas menunjukkan menjaga nyawa manusia menjadi kewajipan semua pihak kerana nyawa adalah kurniaan Allah SWT yang sangat besar bagi membolehkan manusia itu berperanan dalam memakmurkan kehidupan dunia dengan kemampuan menguruskan makhluk lain.
“Bahkan perbuatan yang boleh mengorbankan nyawa manusia adalah suatu dosa yang sangat besar,” katanya.
Katanya lagi, menjaga nyawa termasuk dalam aspek rukun kehidupan manusia wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT dan kebijaksanaan Rasulullah SAW yang menjadi teladan kepada seluruh manusia. – Malaysiapost

