SELEPAS menyarankan rakyat mengangkat tangan berdoa kepada Allah SWT berbanding mengalah menghadapi ujian dengan mengangkat bendera putih, Nik Abduh Nik Aziz, sekali lagi menyeru rakyat berdoa bersungguh-sungguh untuk melawan Covid-19.
Pemimpin PAS itu berkata, ia kerana doa adalah sebahagian usaha, bahkan ia bapa segala usaha sang hamba untuk menyingkap pintu pertolongan daripada Tuhan, sebaik-baik penolong dan sebenar-benar tempat bergantung.
Menurut Ahli Parlimen Bachok itu doa adalah senjata yang dihunus bagi melawan segala ujian dan kesukaran.
“Berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan dengan hati yang tunduk. Berdoalah sebelum anda berusaha, semasa dan selepas anda berusaha.
“Doa hilang dan ditarik daripada orang yang kerdil keyakinannya, kurang imannya, takabbur akhlaknya dan putus asa dirinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, sesiapa yang rajin berusaha tetapi alpa berdoa atau kurang berdoa atau meringan-ringankan doa adalah manusia pemalas yang paling rugi dan telah mensia-siakan aset lidahnya bagi menjana laba yang terbesar dalam amal usahanya.
“Lawan Covid-19 dengan berdoa kepada Allah sebelum, semasa dan selepas berusaha dengan akal, tangan dan seluruh anggota tubuh.
“Begitulah iman dan akhlak muslim. Imannya adalah bahawa kabul dan perkenan Allah mesti di tempat pertama mendahului segala usahanya.
“Lawan Covid-19 dengan hati yang kembali dan taubat kepada-Nya. Bahawa Allah-lah yang menurunkan bala, ujian dan fitnah. Justeru Dia jugalah yang akan mengangkatnya kembali,” katanya.
Selasa lalu, Nik Abduh berkata rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT.
Beliau berkata, mereka yang diuji sebaliknya perlu menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.
Perkara itu dinyatakannya susulan kempen mengibar bendera putih yang meminta orang ramai mengibarkan bendera putih jika memerlukan bantuan akibat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Susulan hantaran tersebut yang kini mendapat 18,000 komen dan 5,400 perkongsian, beliau mendapat kecaman sebahagian netizen yang beranggapan kempen mengangkat bendera putih itu bukan sebab rakyat tewas. – Malaysiapost

