
PAHANG membenarkan solat Jumaat dan fardu di semua masjid dan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun dengan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, telah memperkenankan garis panduan dan SOP baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau di Pahang.
Menurutnya, antara garis panduan dan SOP baharu yang diperkenankan adalah, seramai 100 jemaah dibenar solat Jumaat di masjid negeri dan masjid daerah dengan jumlah itu boleh dipertingkat melalui permohonan berdasarkan keupayaan kawalan SOP oleh pihak masjid.
“Solat Jumaat di masjid kariah pula hanya 50 jemaah dibenarkan, manakala surau kebenaran Jumaat pula 12 orang sahaja.
“Bagi solat fardu, 12 jemaah dibenarkan di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau.
“Kawasan PKPD, solat Jumaat dibenarkan dengan 12 orang, namun umat Islam di kawasan terbabit digalak menunaikan solat Zohor di rumah sebagai langkah berhati-hati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkifle berkata, jemaah yang dibenarkan adalah dari kalangan warga Malaysia yang bermastautin di Pahang sahaja dan jemaah bawah umur 12 tahun serta warga emas 75 tahun ke atas tidak dibenarkan.
Katanya, anggota keselamatan beruniform dan pemantau dari Pihak Berkuasa Agama adalah tidak termasuk daripada jumlah jemaah yang dibenarkan.
Sementara itu, solat sunat Aidiladha turut dibenarkan dengan jumlah asas jemaah berdasarkan jumlah bilangan jemaah bagi solat fardu yang telah diberikan di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau.
“Mana-mana masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP ditetapkan dan disahkan berlakunya penularan Covid-19 akibat aktiviti solat Jumaat dan fardu boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya. – Malaysiapost
