KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman perumahan bagi penjawat awam melalui moratorium.
Presidennya Adnan Mat berkata alasan penjawat awam dan pesara kerajaan menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk bayaran balik pinjaman perumahan LPPSA ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi relevan.
Menurutnya, keupayaan penjawat awam dan pesara kerajaan untuk membayar pinjaman LPPSA turut terjejas atas beberapa faktor.
“Harus diingatkan tidak semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan dan dianggar lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga kecil-kecilan selain suri rumah sepenuh masa.
“Ada dalam kalangan mereka telah kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga berikutan pelaksanaan PKP secara berterusan daripada tahun lalu.
“Selain itu, kebanyakan penjawat awam juga memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman, mereka yang terbabit mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan.
“LPPSA tidak wajar menolak pemberian moratorium dengan menggunakan alasan gaji penjawat awam dan pencen pesara kerajaan masih lagi dibayar penuh.
“Pandemik yang melanda negara lebih dari setahun ini sepatutnya membuka mata semua pihak untuk bersama-sama bersolidariti dengan rakyat,” katanya.
Menurutnya, agensi kerajaan lain seperti MARA, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) turut melaksanakan moratorium.
“Justeru Cuepacs sekali lagi menggesa kerajaan dan LPPSA mempertimbang secara serius keperluan menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman perumahan untuk penjawat awam, sama seperti bank-bank swasta yang tidak dikawal oleh kerajaan secara langsung.
“Selain membolehkan penjawat awam yang terjejas merancang kembali kewangan, lebihan wang tersebut boleh digunakan untuk membantu ahli keluarga, saudara mara dan masyarakat yang terjejas dengan pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

