Vaksinasi warga emas selesai pada Julai – KJ

0
1
Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin melawat Pusat Penerima Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil pada hari pertama PPV dibuka di sini hari ini.

LEBIH 700,000 warga emas yang belum menerima vaksin dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan diselesaikan pada Julai ini.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan tersebut berdasarkan tambahan vaksin yang tiba di negara ini.

“Dalam bulan Julai ini…Insya-Allah akan dapat selesaikan semua (vaksinasi) warga emas. (Isu ini berlaku) sebab bekalan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan satu juta dos vaksin AstraZeneca (AZ) yang disumbangkan kerajaan Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Terdahulu, Khairy memaklumkan 729,343 atau kira-kira 25.6 peratus warga emas yang mendaftar untuk Fasa 2 PICK masih belum menerima walau satu dos suntikan vaksin.

Sejumlah 2.12 juta daripada 2.85 juta warga emas yang mendaftar di bawah fasa itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pada masa sama, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan keputusan pemberian vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada golongan remaja telah diputuskan.

Katanya, perkara itu akan dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Jumaat atau awal minggu depan.

“Ada beberapa perkara teknikal yang perlu kita perhalusi dahulu tetapi keputusan dah dibuat cuma nak maklum kepada orang ramai, kita akan keluarkan kenyataan bersama,” katanya.

Ia susulan kerajaan sebelum ini mempertimbangkan semula keputusan memberikan vaksin Pfizer kepada golongan remaja susulan laporan berlaku insiden kesan sampingan radang jantung dalam kalangan penerima terutamanya remaja lelaki. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here