Pemuda PN kecam pihak cuba cemar objektif gerakan bendera putih

0
1

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan pihak tertentu terutama parti pembangkang yang cuba mencemar objektif gerakan bendera putih dengan menanam elemen perpecahan dan kebencian pada kerajaan.

Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, gerakan bendera putih adalah secara sukarela bagi memudahkan identifikasi dan penyampaian bantuan segera bagi individu dalam komuniti setempat yang ingin menolong antara satu sama lain.

“Pemuda PN di semua Parlimen akan terus menggerakkan sukarewalan untuk membantu menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, sama ada bendera putih diangkat atau tidak.

“Pemuda PN menyeru seluruh rakyat bersatu padu, berdoa, kuatkan semangat dan yakin bahawa kita semua dapat kembali menjalani kehidupan dan norma biasa kelak melalui Pelan Pemulihan Negara. Pemuda PN bersama anda dalam masa yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri Kedah tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, penggunaan bendera putih itu merupakan salah satu propaganda politik untuk membina persepsi kerajaan gagal dalam kalangan masyarakat.

Katanya, gerakan bendera putih adalah propaganda politik yang mencerminkan persepsi kerajaan gagal, walhal sebenarnya kerajaan sedang menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik.

Beliau memberitahu, kerajaan telah menyediakan saluran rasmi yang boleh digunakan oleh rakyat dan mereka akan dibantu tidak mengira fahaman politik.

Sementara itu, Ir Khairil Nizam memuji keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalur peruntukan tambahan sejumlah RM66.6 juta untuk RM300,000 nilai bakul makanan kepada setiap Ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

“Dengan inisiatif tambahan ini, di harap wakil rakyat dapat mengurus dana ini dengan telus dan menyampaikan bakul makanan ini tanpa melalui agensi kerajaan.

“Rakyat juga dapat mohon segera pada wakil rakyat, selain dari agensi-agensi kerajaan yang sedia ada,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here