SELA masa antara dos pertama dan dos kedua vaksin AstraZeneca (AZ) akan dipendekkan kepada sembilan minggu, berbanding 12 minggu ketika ini.
Perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) selepas mengambil kira saranan jawatankuasa kerja teknikal yang dibarisi pakar berkaitan.
Menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), jarak antara dos pertama dan kedua vaksin AZ yang diputuskan masih selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat pengeluarnya iaitu di antara empat hingga 12 minggu.
“Hasil penilaian barisan pakar dalam JKJAV yang turut dianggotai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jarak terbaharu ini masih lagi dapat mengekalkan tahap keberkesanan sama yang maksimum untuk perlindungan sewajarnya kepada penerima vaksin tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
CITF berkata, kerajaan Malaysia hari ini menerima sejuta dos bekalan vaksin AZ yang disumbangkan oleh Jepun untuk membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, bekalan vaksin yang diterima secara pukal itu tiba menggunakan pesawat Japan Airlines (JAL723) pada 5.45 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Dengan sumbangan yang diterima itu menjadikan jumlah vaksin AZ yang telah diperoleh negara setakat 1 Julai adalah sebanyak 1,828,000 dos. – Malaysiapost

