Sering ditindas, PENGHANTAR gesa mekanisme kawal syarikat p-hailing

0
1
Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) Zulhilmi Mansor

Najamuddin Mohd Nor

KERAJAAN digesa mencari satu mekanisme yang dapat menyeragamkan modus operandi syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan p-hailing.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) Zulhilmi Mansor berkata, mekanisme ini sangat penting kepada penghantar makanan bermotosikal atau ‘rider’ yang selalu ditindas ekoran dimanipulasi syarikat pengendali p-hailing.

Setakat ini katanya, tiada satu pun mekanisme yang seragam dapat mengawal syarikat pengendali menyebabkan ia berbeza mengikut sesebuah syarikat.

Pekerja-pekerja Grabfood dan Foodpanda sedang bekerja dan berehat di hadapan sebuah kompleks membeli belah Kuala Lumpur ketika tinjauan Malaysiapost.

“Sebagai contoh belum ada lagi peraturan atau undang-undang menetapkan zon atau kawasan yang seragam.

“Kalau syarikat A kata zon Petaling Jaya adalah sekitar dalam kawasan itu, tetapi ada syarikat B pula kata zon Petaling Jaya itu merangkumi hingga ke Puchong.

“Satu lagi contoh, ada syarikat tidak menentukan kadar masa sesuatu penghantaran itu mesti diselesaikan.

“Namun ada syarikat lain menentukan kasar masa, yang jadi masalah ia tidak bersesuaian dan tepat dengan situasi jarak dan cabaran yang sebenar,” katanya dalam tembual bersama Malaysiapost.

Pekerja-pekerja Grabfood dan Foodpanda sedang bekerja dan berehat di hadapan sebuah kompleks membeli belah Kuala Lumpur ketika tinjauan Malaysiapost.

Mengulas lanjut, Zulhimi berkata, mekanisme yang menentukan keluasan sesuatu zon itu penting kerana dapat mengelak syarikat pengendali p-hailing menukar keluasan zon secara tiba-tiba.

“Isu ini tercetus bila berlaku lambakan rider. Jalan penyelesaiannya ada syarikat pengendali menambah keluasan zon. Bayangkan Puchong boleh diletakkan dalam kawasan Petaling Jaya. Kononnya nak bagi senang rider dapat pelanggan.

“Hakikatnya ini menyukarkan rider, jarak perjalanan menghantar lagi jauh, bayangkan selepas hantar di Puchong dapat pesanan di SS 2, jauh dan rider terpaksa mengejar masa.

“Itu ada yang sanggup langgar lampu merah dan risiko kemalangan meningkat kerana rider terpaksa menunggang laju,” katanya.

Menyentuh keluhan orang ramai yang sering berhadapan rider tidak mematuhi undang-undang jalan raya, Zulhilmi ada alasannya sendiri.

“Saya tak nafi memang ada rider macam tu. Langgar lampu isyarat, pandu laju melulu memang ada. Namun sebagai Presiden PENGHANTAR sudah tentu saya mempertahankan para rider.

“Itulah saya berharap sangat kerajaan dapat menyediakan mekanisme seragam dalam industri ini agar masalah ketidaktepatan jarak dan masa sebenar tidak berlaku.

“Bila tak tepat, maka rider tak ada pilihan, terpaksalah kena ikut tempoh masa yang ditetapkan. Kalau tak rating jatuh dan pendapatan akan berkurang.

“Jadi untuk atasi masalah rider langgar lampu merah, pandu laju, saya gesa mekanisme menyeragamkan modus operandi syarikat pengendali ini diwujudkan segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here