Benitez kembali ke Merseyside… bersama musuh Liverpool

0
1

SELEPAS 11 tahun meninggalkan Liverpool, Rafael Benitez kembali ke Merseyside namun kali ini sebagai pengurus Everton.

Pengurus dari Sepanyol berusia 61 tahun itu menandatangani kontrak tiga tahun bersama The Tofees menggantikan Carlo Ancelotti.

Pelantikan Benitez sebelum ini mendapat tentangan peminat Everton memandangkan dia pernah mengendalikan musuh ketat setempat, Liverpool.

Menurut laman web Everton FC, pemegang saham majoriti kelab, Farhad Moshiri berkata: “Rafa sangat mengagumkan kami dengan pengetahuan dan pengalamannya.

“Kami melantik Rafa kerana yakin dia akan membawa kejayaan ke kelab kami dan Evertonians. Kita perlu bertanding di peringkat teratas liga dan memenangi trofi.

“Rafa adalah pemenang yang terbukti dengan pengalaman besar dan dalam usaha membina pasukan ke peringkat tertingg, kami telah berjaya mendapatkan yang terbaik untuk mencapainya.”

Benitez pula gembira dapat bergabung dengan Everton dan melahirkan rasa kagum dengan cita-cita ditunjukkan pengurusan kelab serta keinginan mereka membawa kejayaan buat pasukan bersejarah itu.

“Saya bertekad untuk memainkan peranan besar dalam membantu kelab hebat ini mencapai cita-citanya.”

Everton turut mengesahkan Duncan Ferguson dan Alan Kelly akan menjadi sebahagian pasukan kejurulatihan Benitez.

Benitez mempunyai rekod mengagumkan bersama kelab dikendalikannya, meraih tujuh penghormatan utama termasuk gelaran La Liga, Coppa Italia, Piala FA, Liga Europa dan Liga Juara-Juara di Sepanyol, England dan Itali. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here