RAYUAN Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman kerana sabitan meliwat bekas pembantunya dijadualkan semula pada 9 September selepas pencelah memohon penangguhan.
Peguam Sarah Abishegam yang hadir bagi pihak pencelah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, mereka meminta penangguhan itu kerana kesukaran semasa perintah sekatan yang berterusan dan perbicaraan maya dijadualkan hari ini.
Muhammad Shafee melalui peguamnya, Shafee & Co sebelumnya menulis surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan untuk meminta penangguhan tersebut, lapor FMT.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Hairi Haron hari ini, menetapkan 9 September ini selepas mengadakan pengurusan kes secara maya.
Peguam J Leela berkata, peguam utama Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan kerajaan yang menjadi responden bersedia untuk membuat penghujahan.
Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy pula mewakili kerajaan.
Pada 2017, Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula Anwar dengan alasan kes itu tidak berasas dan adalah satu penyalahgunaan proses pengadilan.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang mendakwa, tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam rayuan terhadap sabitan kes liwatnya.
Anwar mendakwa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mulai 2013. – Malaysiapost

