Terbaca kru nak bunuh diri, Nina lancar kempen bantuan kru belakang tabir

0
1

PELAKON Brunei Nina Iskandar melakukan inisiatif sendiri dengan melancarkan kempen membantu kru perfileman Malaysia yang terkesan sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ ketika ini.

Pelakon yang terkenal dalam drama Isteri Dalam Sangkar itu telah mengajak rakyat Brunei terutama pengikutnya di Instagram untuk membantu kru perfileman Malaysia yang sedang tertekan ekoran larangan menjalani pengambaran perfileman sepanjang tempoh lockdown ini.

“Saya mengajak followers saya khasnya dari Brunei, mari kita sama-sama bantu. Cukup seikhlas hati pun sudah memadai, untuk meringankan beban mereka.

“Dan kepada warganegara Malaysia yang berkemampuan ingin turut serta membantu, boleh DM saya,” katanya di Instagram, hari ini.

Lebih mengejutkan, Nina mendedahkan kempen ini tercetus setelah dia terbaca satu hantaran di media sosial seorang kru perfileman yang berhasrat untuk membunuh diri kerana telah berputus asa dengan kehidupannya ketika ini.

“Terbaru saya dengar khabar berita salah seorang kru perfileman Malaysia memuat naik status berbaur hasratnya untuk membunuh diri, menyedihkan tapi inilah hakikatnya memang semua orang terkesan, mental dan emosi sehingga sanggup nak meragut nyawa sendiri akibat masalah kewangan.

“Semenjak kebelakangan ini saya juga ada menerima text, whatsapp, DM daripada beberapa individu di belakang tabir, memerlukan bantuan,” katanya.

Nina menambah, dia merasa amat simpati dengan keperitan kehidupan yang sedang dihadapi oleh golongan belakang tabir di Malaysia yang tentunya hilang punca pendapatan kerana tidak boleh bekerja.

“Dengan ini saya berhasrat untuk membantu kru-kru belakang tabir perfileman di Malaysia yang memerlukan.

“Kerana selama beberapa tahun saya bekerja dalam dunia seni, saya tahu bagaimana pedihnya mereka mencari rezeki untuk keluarga dan diri mereka. Dan ini je cara saya mampu untuk membantu mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here