Op Patuh besar-besaran mulai Khamis

0
1

KERAJAAN akan melaksanakan operasi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dikenali sebagai Op Patuh secara besar-besaran di seluruh negara bermula Khamis ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata operasi selama empat hari sehingga Ahad itu diadakan secara bersepadu melibatkan 21 agensi dan jabatan kerajaan yang akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Mereka boleh tahu apa yang saya umumkan ini dan bersedia jika kita sudah tangkap kita akan bagi kompaun maksimum,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas melawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu.

Sebelum itu, beliau turut meninjau operasi pemantauan SOP di Penjara Marang dan operasi Jabatan Imigresen di bandar raya Kuala Terengganu.

Menurut Hamzah, operasi menyeluruh melibatkan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan penuh pergerakan itu bertujuan mengurangkan kes jangkitan Covid-19 yang kini masih mencapai angka 5,000 sehari.

Beliau berkata, tumpuan lebih diberikan kepada negeri yang mencatatkan angka Covid-19 tinggi dan penguatkuasaan dilakukan menggunakan pelbagai aset sedia ada seperti helikopter dan dron selain sekatan jalan raya serta pemeriksaan mengejut.

Katanya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan ketua jabatan polis esok bagi menetapkan strategi dan 154 Ketua Polis Daerah diberi petunjuk prestasi utama (KPI) yang harus dicapai.

“Kita akan bekerjasama dengan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna).

“Syarikat yang minta kebenaran beroperasi kita akan periksa dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) betul ke kilang ini dalam sektor perkhidmatan perlu sebab adakalanya dekat MITI tulis pembuatan dekat SSM daftar lain,” katanya.

Sebelum ini, Hamzah mengumumkan operasi membanteras ketidakpatuhan SOP dikenali sebagai Op Patuh dilancarkan secara besar-besaran.

Op Patuh tersebut memberikan lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here