PARTI Bumiputra Perkasa (PUTRA) menjunjung kasih atas ketegasan Yang di Pertuan Agong yang menitahkan sidang Parlimen perlu diadakan dalam masa terdekat ini.
Ketua Penerangannya Ashraf Rosli, berkata PUTRA menjunjung kasih kepada Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas tindakan tegas mengeluarkan titah agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka semula Parlimen secepat mungkin.
Katanya, ini kerana negara dan rakyat yang memerlukan pembelaan sekali gus mengembalikan proses semak dan imbang dalam setiap tindakan kerajaan.
“Inilah kali ketiga titah YDPA bertitah supaya Parlimen segera sebelum tamat tempuh darurat pada 1 ogos 2021.
“Dengan titah ketiga yang amat jelas dan tegas ini, PUTRA yakin pihak Kerajaan iaitu PM, Kabinet dan Parlimen sudah tidak pekak dan bisu lagi. Jangan tunggu Hang Tuah menghunus Taming Sari kerana Derhaka kepada Raja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ashraf berkata, PUTRA yakin seluruh rakyat memberi taat setia yg tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan sebagai payung negara.
“Berita rakyat bunuh diri, bendera putih kerana kelaparan, kes Covid-19 yang tidak menurun, rungutan maki hamun rakyat serta suara menyeru rakyat berhimpun pada 30 Jun membukti tempoh masa rakyat bersabar sudah tamat,” katanya.
Dalam pada itu, Ashraf berkata, PUTRA juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mendesak Parlimen dibuka segera. – Malaysiapost

