Najamuddin Mohd Nor
KEMARAHAN rakyat ketika ini dapat diredakan apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi maklum balas terhadap masalah rakyat melalui Sidang Parlimen.
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang berpendapat Parlimen wajar diadakan segera bagi membawa suara rakyat.
Katanya, ia juga bagi membincangkan bagaimana negara dan rakyat bersama-sama kerajaan mencari kaedah terbaik untuk memerangi Covid-19.
“Itulah yang saya fikirkan untuk kita bincang di Parlimen supaya kita dapat membincangkan lebih baik lagi caranya oleh sebilangan Ahli Parlimen.
“Kalau Parlimen bersidang, Ahli-Ahli Parlimen yang tidak duduk dalam Kabinet atau pun kerajaan, kita ni pun membaca, dapat maklumat sana sini, kita pun bagilah pandangan kita, bagaimana kita boleh membantu rakyat.
“Jadi oleh kerana Parlimen tidak dipanggil maka itulah rakyat terus marah kepada kerajaan. Memanglah… meraka nak marah pada siapa lagi? Kehidupan semakin susah ketika ini.
“Macam sekarang ni, orang marah-marah, kerajaan nak jawab kat siapa? Nak respon pun tak boleh. Tapi kalau Ahli Parlimen bangkit (suarakan) di Parlimen dan akan dicatit, maka dia (kerajaan) akan beri jawapan, wajib kerajaan beri jawapan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost.
Bagaimanapun Mohamad Nazri menjelaskan, sebarang usaha menukar kerajaan yang ada sekarang patut ditolak kerana ia bukan cara untuk menangani pandemik Covid-19 ketika ini.
“Tapi dalam masa yang sama, saya tidak fikir waktu kita menghadapi pandemik ini, kita tengah marah yang ni… jadi kita marah pada kerajaan yang ada kita kena tukar kerajaan. Kerajaan yang baru akan naik pun belum tentu dapat menyelesaikan masalah.
“Kita kena start balik dari bawah, start balik all the games, saya rasa itu bukannya alternatif yang baik, Covid ni tidak ada lagi negara yang berjaya… negara tu berjaya sekejap lepas tu naik-naik balik yang baru.
“Jadi sebab itu saya kata, apabila Parlimen dipanggil nanti, kita mintalah pandangan ahli-ahli Parlimen bagi pandangan dan cadangan. Saya rasa segala kemarahan rakyat kerana tidak mendapat respon sudah tentu boleh dibawa oleh Ahli Parlimen untuk dibahas dan kerajaan akan jawab,” katanya. – Malaysiapost

