WARGA Malaysia berusia 12 tahun yang belum menukar MyKid kepada MyKad susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dikenakan bayaran denda.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan sepanjang tempoh PKP, permohonan MyKad bagi kanak-kanak 12 tahun tidak akan didenda bagi permohonan yang mencapai usia 12 tahun 31 hari dan ke atas.
“Tetapi tidak boleh melebihi 13 tahun pada hari permohonan dan terpakai sehingga 31 Disember 2021 sahaja,” menurut JPN dalam satu kenyataan di laman Facebook semalam.
Mengikut Peraturan 3, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) setiap kanak-kanak yang telah mencapai umur 12 tahun dan bertaraf Warganegara wajib mendaftar untuk mendapatkan Kad Pengenalannya (MyKad).
Pemohon mestilah membuat permohonan dalam tempoh 30 hari dari tarikh genap berumur 12 tahun dan jika tidak, bayaran proses RM10 akan dikenakan.
Sejak PKP 3.0 dilaksanakan bermula 1 Jun lalu, semua urusniaga di kaunter JPN termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara ditangguhkan kecuali beberapa kes kecemasan.
Antaranya gantian MyKad rosak atau hilang yang disertakan laporan polis bagi kes kecemasan seperti urusan bank serta rawatan perubatan sahaja; pengeluaran sijil kematian untuk prosedur penghantaran pulang jenazah warga asing; dan sijil kelahiran anak kepada warga asing yang bagi tujuan penghantaran pulang ke negara asal. – Malaysiapost

