KERAJAAN disaran mempertimbangkan bayaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada RM1,000 selama lima bulan kepada RM2,000 untuk dua bulan pertama dan baki RM1,000 pada bulan ketiga.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata sekiranya bayaran pertama RM1,000 dibuat pada 1 Ogos 2021 seperti diumumkan kerajaan semalam, pemohon terdesak sudah bertahan selama dua bulan 21 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 12 Mei.
“Saya percaya ramai akan mempunyai tunggakan komitmen lebih besar apabila sampai tarikh 1 Ogos sebab sudah berkurung hampir tiga bulan tanpa pendapatan atau dengan pendapatan yang berkurang,
“Jadi, adakah bayaran pertama RM1,000 hanya pada Ogos akan memenuhi keperluan serta tunggakan komitmen bagi mereka yang sudah berkurung hampir tiga bulan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan permohonan bagi skim itu akan bermula pada 15 Julai dan bayaran pertama RM1,000 akan dibayar pada Ogos sebelum RM1,000 diberikan untuk empat bulan selanjutnya.
Mengulas lanjut, Najib berkata jumlah bagi bayaran pertama perlu lebih tinggi berbanding bayaran seterusnya sebab sudah wujudnya tunggakan.
Beliau juga mencadangkan permohonan dibuka minggu depan dan bukannya 15 Julai memandangkan sistem pengeluaran yang diguna pakai bagi i-Lestari serta i-Sinar sudah ada.
Katanya, aliran tunai dari caruman bulanan baharu yang diterima KWSP sekitar RM10 bilion sebulan sudah mencukupi untuk membiayai pengeluaran i-Citra tanpa menjual aset atau bon KWSP.
“Kebanyakan sektor dijangka dibuka semula pada September atau Oktober di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara dan keperluan untuk bergantung pada pengeluaran KWSP akan berkurang masa itu,” katanya.
Najib juga meminta kerajaan pertimbangkan untuk menaikkan pengeluaran maksima bagi golongan M40 yang mempunyai baki simpanan KWSP melebihi RM100,000 dari RM5,000 ke RM10,000.
Ini kerana katanya, komitmen bulanan golongan M40 biasanya lebih tinggi berbanding golongan B40. – Malaysiapost

