PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui tanggungjawab dipikulnya untuk memimpin Umno ketika ini bukanlah tugas yang mudah.
Namun. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bertekad untuk terus membawa parti berkenaan terus maju ke hadapan menjadi lebih gemilang dan terbilang.
“Saya pertahankan Umno bukan atas kepentingan diri. Jika untuk kepentingan diri pasti keadaannya berbeza selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kerana itu saya akan terus pertahankan Umno. Tidak pernah jemu dan tidak akan sesekali berpaling. Genggam bara api biar sampai jadi arang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Menurutnya, dahulu beliau mempertahankan parti demi masa depan Umno tetap terbilang dan kini pertahankannya demi jati diri Umno terus gemilang.
“Bukan tugas yang mudah, namun inilah kewajipan. Saya percaya pengorbanan ini bukan sia-sia.
“Untuk parti keramat agama, bangsa, negara. Tiada masa untuk menoleh. Terus maju ke depan,” katanya.
Beliau berkata, matlamat yang jujur dan ikhlas pasti diberkati Tuhan dan Umno akan terus mara untuk rakyat Malaysia.
Ahmad Zahid ketika ini berdepan berdepan 47 pertuduhan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Beliau bagaimanapun pada 20 Febuari 2019, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan kini sedang dibicarakan. – Malaysiapost

