SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan memberi layanan secara adil bagi semua sektor perniagaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.
Menurutnya, dengan tempoh pelaksanaan yang tidak diketahui bila berakhir akan mengakibatkan semua perniagaan terjejas dan bukan sektor perkilangan sahaja.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kehilangan mata pencarian boleh menghancurkan kehidupan sehinggakan ada yang membunuh diri.
“Tidak siapa yang tahu bila ‘total lockdown’ akan berakhir dengan jumlah jangkitan baharu harian yang tinggi, kebanyakannya dari kluster tempat kerja kilang.
“Setakat ini, kerajaan tidak dapat menjawab persoalan asas mengapa semua perniagaan tidak dapat dilayan secara adil dan saksama.
“Semua perniagaan harus dilayan dengan sama untuk dibenarkan beroperasi seperti kilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, semua perniagaan perlu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sama seperti kilang di mana mereka perlu ditutup beberapa hari dan kemudian dibenarkan dibuka selepas proses sanitasi.
“Dalam pertempuran antara menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, keputusan seperti ini tidak mudah.
“Walaupun tidak siapa yang meragui bahawa usaha menyelamatkan nyawa harus diutamakan, kerajaan jangan lupa bahawa kehilangan mata pencarian boleh menghancurkan kehidupan sehinggakan ada yang membunuh diri,” katanya. – Malaysiapost

