Pulau Tioman sedia laksana gelembung pelancongan

0
2

SELEPAS Pulau Langkawi, giliran Pulau Tioman yang terletak di perairan Rompin, Pahang turut mempercepatkan proses vaksinasi bagi memastikan 80 peratus populasinya divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin berkata apabila status imuniti kelompok dicapai, tentunya gelembung pelancongan dapat dilaksanakan di pusat peranginan berkenaan.

Katanya, pembukaan semula industri pelancongan tentunya akan dapat mengimbangi kerugian sekali gus meningkatkan semula pendapatan mereka yang terjejas di kawasan pulau berkenaan.

“Langkah proaktif ini dilihat berjaya membantu negara luar seperti Australia dan New Zealand mengembangkan sektor pelancongan serta ekonomi berkaitan. Antaranya membabitkan pengangkutan, penginapan dan makanan.

“Ia bertepatan strategi utama pelancongan iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong sekali gus dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik.

“Dalam melaksanakan gelembung pelancongan, tentunya kerajaan negeri mempunyai kriteria ditetapkan antaranya pelancong sudah mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan perlu melakukan ujian calitan (swab test).

“Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu dilaksanakan demi memastikan tidak berlaku penularan wabak pandemik Covid-19 ketika aktiviti gelembung pelancongan dilaksanakan.

“Kita percaya apabila imuniti kelompok dicapai, bukan sahaja Pulau Tioman, malah lokasi pelancongan lain seperti Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Cameron Highlands dan Genting Highlands serta Bukit Frazer kembali dibuka,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Sharkar berharap kerajaan Pusat segera mempercepatkan program vaksinasi negara untuk memastikan imuniti kelompok itu dicapai.

Beliau menambah, segala perancangan vaksinasi sedia ada perlu diubah dan dilipatgandakan serta tidak perlu menunggu sehingga hujung tahun ini kerana negara harus mencapai imuniti kelompok jauh lebih cepat.

“Hanya dengan cara itu, aktiviti gelembung pelancongan dapat diperluaskan bukan sahaja di seluruh Pahang malah seluruh negara demi memulihkan dan merancakkan kembali sektor pelancongan negara,” katanya lagi. – Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here