Peningkatan jangkitan Covid-19 bukan punca sektor pembuatan – Azmin

0
2

TIDAK wajar untuk menyalahkan sektor pembuatan sebagai punca berlaku peningkatan kes positif Covid-19, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, berdasarkan statistik dan data Kementerian Kesihatan (KKM), 75 peratus daripada kes positif yang direkodkan hari ini adalah bersifat sporadik kerana virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk menjelaskan kerana daripada statistik dan data diumumkan KKM, 75 peratus daripada kes-kes positif yang ada pada hari ini adalah bersifat sporadik.

“Maknanya, virus Covid-19 ini sudah berada dalam komuniti. Hanya 25 peratus sahaja datang daripada pelbagai bentuk kluster, termasuk kluster tempat kerja.

“Sekali lagi data yang dibekalkan oleh KKM membuktikan dari kluster-kluster yang wujud setiap hari itu sebahagiannya adalah kluster sektor pembuatan, tetapi jumlah yang dicatatkan bagi kes positif di sektor perkilangan dan pembuatan adalah lima hingga 10 peratus sahaja,” katanya dipetik Malaysiagazette, hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, pihaknya mendapat data tersebut terlebih dahulu dan membenarkan beberapa sektor terus beroperasi setelah mendapati kes jangkitan melibatkan kluster sektor ekonomi kecil dan virus Covid-19 sebenarnya telah menular berada dalam komuniti.

Katanya, kebarangkalian kes itu berlaku dalam sektor ekonomi tidak wujud, tidak seperti sektor pendidikan dan sosial yang telah tutup sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, bagi sektor ekonomi khususnya untuk perkhidmatan perlu, kementerian membenarkan sedikit aktiviti itu beroperasi bagi melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Tambahan pula Malaysia ini sebuah negara yang terlibat dengan pelbagai rantaian bekalan global dan kita tidak mahu ada gangguan terhadap bekalan makanan serta keperluan asas yang melibatkan barang keperluan untuk kesihatan awam seperti sanitizer atau barang keperluan farmasi.

“Jadi, apabila ada aktiviti ini, kebarangkalian itu pastinya wujud, tetapi jumlahnya tidaklah besar seperti yang diumumkan kerana kes ini dan virus ini sudah sporadik, telah berada dalam masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Azmin Ali

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here