Nurul Huda Abhar
INDIVIDU yang gagal dalam cubaan untuk membunuh diri perlu diberi kaunseling dan rawatan khusus bagi memulihkan semangat jati diri, berbanding menjatuhkan hukuman kepada mereka di bawah Kanun Keseksaan.
Pengamal undang-undang, Hasif Hasan berkata satu peruntukan undang-undang menarik perhatian beliau iaitu Seksyen 309 Kanun Keseksaan, kesalahan cuba membunuh diri.
Katanya, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan seksyen tersebut yang menjatuhkan hukuman kepada mereka yang terselamat daripada cubaan membunuh diri.
“Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Bagi saya mereka yang tidak ‘sempat’ mati perlu dilihat sebagai satu kejayaan dan kesyukuran dan tidak perlu lagi dihukum mereka.
“Saya berpendapat mungkin pesalah yang terselamat daripada mati ini perlu diberi kaunseling dan rawatan khusus bagi memulihkan semangat dan jati diri mereka tanpa dikenakan hukuman ke atas mereka atau alternatifnya memansuhkan seksyen berkenaan daripada Kanun Keseksaan,” katanya.
Hasif menyuarakan pendapatnya itu dalam perkongsian menerusi hantaran di laman Facebooknya, semalam.
Pada masa sama, beliau berkongsi kisah kejadian bunuh diri membabitkan seorang warga asing yang menggantungkan leher dalam bilik air kerana tidak mahu dihantar pulang ke negara asal.
Menurutnya, walaupun kaki si mati masih boleh berpijak pada lantai tandas tetapi dia sengaja membengkokkan kaki untuk tidak menyentuh lantai dan membiarkan diri tergantung dan tali menjerut lehernya sendiri.
“Setelah melihat gambar, membaca laporan post mortem dan bertanya pegawai penyiasat, baru saya faham bahawa sebenarnya si mati masih ‘berpeluang’ untuk menyelamatkan nyawa tetapi apabila azam, keinginan atau determination untuk membunuh diri, ia tetap akan terjadi,” ujarnya.
Kes bunuh diri meningkat amat ketara di mana sebanyak 226 kes dilaporkan setakat Oktober tahun lalu, berbanding 188 kes pada 2019.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan Mei lalu mengakui Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi, malah menjejaskan kesihatan mental kepada rakyat. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

