YANG di Pertuan Agong memang berjiwa rakyat, tetapi orang yang wakil rakyat tidak berjiwa rakyat, demikian kata veteran politik Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Apa yang dikesalkan, Tengku Razaleigh yang mesra dikenali sebagai Ku Li berkata, terdapat segelintir ahli-ahli Parlimen yang berjawatan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan titah Yang di Pertuan Agong supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
“Macam mana tu? Elok orang macam ini pencen, saya rasa orang macam ini tidak disambung khidmatnya kerana pertikaikan sesuatu yang patut dijunjung perintah Agong untuk dijalankan,” katanya menerusi sidang video secara maya di Facebook, hari ini.
Menurutnya Al Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, bersama Raja-Raja pemerintah telah sudi mengadakan perbincangan khas untuk mendengar dan membincang permasalahan rakyat dan negara dalam mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul akibat pandemik Covid-19.
“Agong telah mendapat persetujuan dan senada dengan Raja-Raja Melayu yang datang taklimat khusus untuk mendengar dan mengambil tahu hal rakyat, apakah-apakah tindakan yang perlu yang patut diambil oleh Raja-Raja kita di seluruh negara,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.
Justeru, Ku Li menggesa sidang Parlimen diadakan secepat mungkin dan paling sesuai diadakan sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos ini dengan mengenepikan agenda peribadi untuk mengekal kuasa pihak-pihak tertentu.
“Tuanku Agong hendak melihat sidang Parlimen diadakan seberapa segera yang boleh tetapi dipertikaikan oleh banyak pihak, jangan bertangguh-tangguh lagi untuk adakan sidang Parlimen.
“Kita mahu Parlimen bersidang sebelum tamatnya darurat pada bulan Ogos ini. Jangan tunggu pada bulan Oktober, lewat Oktober, itu bukan dia… Ini bukan nak kuasa untuk kawal Covid, tetapi nak kawal benda lain yang tiada sangkut paut dengan kedudukan rakyat di Malaysia ini,” katanya.
Pada 16 Jun lalu, susulan Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja, Yang di Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen diadakan segera bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat. – Malaysiapost

