KERAJAAN mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Selangor, Sarawak, Sabah dan Pahang, berkuat kuasa 30 Jun sehingga 13 Julai ini.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari itu susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.
Menurutnya, PKPD terbaru dilaksanakan di Selangor adalah di CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya di Rawang selepas 57 kes positif dilaporkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Katanya, PKPD juga dilaksanakan di Taman Murni, Sepang dengan 36 individu dikesan positif setakat ini.
“Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi turut dikenakan PKPD selepas 206 penduduk dikesan positif dan penularan masih berlaku.
“PKPD di Selangor juga membabitkan CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia di Klang apabila 156 jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh 12 hari dan kes jangkitan tinggi di lokaliti tersebut,” katanya.
Ismail Sabri berkata, PKPD di Sarawak pula dikenakan di Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang di Kuching apabila 17 daripada 35 individu yang telah disaring didapati positif.
Katanya, Kuarters Pekerja Ladang Mukah 1, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd (SPAD) di Mukah turut dikenakan PKPD apabila 19 individu dikesan positif.
“Di Pahang, PKPD dilaksanakan di Flat Taman Benus Jaya, Bentong apabila tujuh kes positif dikesan dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“Sementara di Sabah pula, PKPD melibatkan Kampung Linukaan, Kota Marudu selepas 11 kes positif direkodkan hasil saringan terhadap 47 individu,” katanya.
Menurutnya, PKPD di negeri itu turut dilaksanakan di tiga lokaliti di Kudat membabitkan Kampung Timbagan, Matunggong Kampung Perpaduan Gumpa dan Kampung Perpaduan 2.
“Sebanyak 29 kes dilaporkan selepas KKM melakukan 55 ujian saringan di ketiga-tiga lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP mengekang penularan wabak Covid-19.
Selain itu, menurutnya, PKPD juga dilaksanakan di Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung, Tawau dengan sembilan individu dikesan positif setakat ini.
Ismail Sabri berkata, PKPD turut dikenakan di Kuarters Kilang Bata Kampung Durok, Kampung Limbawan Sayur, Keningau dengan 31 dikesan positif.
“Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu juga turut dikenakan PKPD selepas sembilan individu dilapor positif. – Malaysiapost

