POLIS akan menjalankan siasatan berhubung video tular membabitkan seorang jurulatih Pusat Latihan Polis yang didakwa mengeluarkan kenyataan jelik kepada pelatih wanita.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zaini Jass, berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana video berdurasi 23 saat itu mencalar intergriti pasukan.
“Video itu memaparkan seorang anggota polis lelaki yang bertugas sebagai jurulatih di sebuah Pusat Latihan Polis didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap para pelatih wanita.
“PDRM memandang serius perkara ini kera ia boleh mencemar intregriti PDRM serta tahap profesionalisme di Institut Pusat Latihan Polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dalaman ke atas jurulatih polis dalam video berkenaan sudah dimulakan dan anggota berkenaan dipindahkan untuk membuat tugasan am pejabat sehingga siasatan selesai.
“Pucuk pimpinan PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan, perbuatan serta perilaku yang boleh ditafsirkan sebagai sexist dan seumpamanya di kalangan warga PDRM.
“Sebarang salah laku akan diambil tindakan tegas dan segera di bawah peruntukan undang-undang serta peraturan tatatertib pegawai awam sedia ada,” katanya.
Terdahulu, tular di aplikasi TikTok video anggota berkenaan yang meminta pelatih wanita untuk melakukan ‘lompat bintang empat penjuru’ jika mahu menggembirakan hati jurulatih polis.
Kenyataan yang dipercayai mempunya makna jelik itu mendapat reaksi kurang senang banyak pihak, sekali gus meminta siasatan dijalankan terhadap jurulatih berkenaan.
Malah, netizen menyifatkan tindakan jurulatih itu sebagai tidak patut memandang dia adalah seorang anggota polis. – Malaysiapost

