Mujahid dilantik pengerusi PH Perak baharu

0
1
Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf

NAIB Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak baharu.

Mujahid dilantik menerajui kepimpinan gabungan itu pada 24 Jun lalu oleh Majlis Presiden PH, bagi menggantikan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang keluar PH bersama partinya Bersatu pada Februari 2020.

Semua pengerusi parti dalam PH iaitu Nga Kor Ming dari DAP, Asmuni Awi (Amanah) dan Farhash Wafa Salvador (PKR) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PH Perak.

Ketua Pemuda PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri pula dilantik sebagai ketua pemuda PH negeri, manakala Pemimpin DAP Wong Mei Ing akan terus menerajui Wanita PH Perak.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar pula kekal sebagai Setiausaha PH Perak.

Sementara itu, Penyelaras Komunikasi PH Perak, Muhaimin Sulam berkata, PH Perak telah mencapai persetujuan mengenai struktur baru tersebut yang dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PH Perak baru-baru ini.

“Mesyuarat tersebut berlangsung secara talian yang dipengerusikan Dr Mujahid Yusof, Pengerusi PH Perak yang baru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhaimin berkata,langkah ini selaras hasrat pengerusi PH Perak membawa Perak keluar dari pandemik Covid 19 dan seterusnya meletakkan kembali fungsi kerajaan ke peranan sebenar.

“Pelantikan dan penyusunan semula organisasi PH Perak yang menggemblengkan pelbagai kaum dan gender serta diketuai bekas menteri agama dapat memastikan hala tuju perjuangan PH Perak tidak tersasar daripada landasan Perlembagaan Persekutuan dan komitmen memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan.

“PH Perak akan memberi tumpuan terutama dalam berhadapan krisis pandemik yang memberi kesan menyeluruh kepada semua pihak,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here