Kenyataan Peguam Negara melampau, hina Istana Negara – Anwar

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Peguam Negara mengenai sidang Parlimen dengan berlatarbelakangkan kenyataan Agong dan Raja-raja Melayu semalam, sebagai melampau dan menghina Istana Negara.

Presiden PKR itu berkata, kenyataan Tan Sri Idrus Harun itu juga akan mengheret negara ke lembah krisis Perlembagaan.

“Agong hanya menyampaikan kekecewaan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan rakyat Malaysia, apatah lagi kerajaan ini masih gagal mengawal wabak meski dikurniakan kuasa darurat.

“Mengapa untuk mengadakan sidang Parlimen seolah-olah begitu payah dan sukar, sedangkan kilang-kilang, restoran-restoran dan kini ada beberapa Dewan Undangan Negeri juga sudah mula beroperasi?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, menerusi kenyataan itu Idrus menyatakan Agong hanya boleh memanggil sidang Parlimen hanya dengan nasihat dari Kabinet dengan memetik Perkara 39, 40 dan 43 dan beberapa preseden.

“Saya melihat peruntukan yang dipetik tersebut selari dengan amalan norma Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Keabsahan mana-mana ketua kerajaan dalam mana-mana sistem yang demokratik tergantung pada keupayaan beliau dalam merangkul kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

“Jika kerajaan itu tidak punya keabsahan, maka buang masa untuk kita bicara tentang mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan, kecuali mereka yang benar-benar mahu mengembalikan keabsahan,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, apa yang terjadi hari ini ialah undang-undang digunapakai sewenang-wenangnya bagi melindungi kerajaan yang tidak sah.

Justeru itu, katanya, Ahli-ahli Parlimen yang telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan mesti menyatakan sikap. Persoalan tentang keabsahan bukan hal teori.

“Keabsahan kerajaan PN tidak pernah dibuktikan sejak ia mula didirikan tahun lalu, dan menurut mekanisme yang sah di dalam Demokrasi Berparlimen, kerajaan mesti menjawab persoalan kepercayaan di Parlimen.

“Namun, itu tidak berlaku, dan ini meletakkan kedudukan Perdana Menteri dan seluruh kabinet dalam keadaan tidak selamat,” katanya.

Menurut Anwar, untuk mendapat keabsahan termasuk mendapatkan titah diraja, kerajaan mesti membuktikan sokongan majoriti di Parlimen.

“Jika tidak, maka ia menampakkan kerajaan ini tidak serius tentang kebertanggungjawaban, dan negara akan berada di bawah sistem diktator. Mungkin ini sebab mengapa kerajaan PN enggan membuka Parlimen.

“Tambahan pula, Perlembagaan menyatakan Pengisytiharan Darurat dan Ordinan Darurat mesti didebat dan diundi di Parlimen. Kegagalan PN untuk menghormati Parlimen telah meletakkan Malaysia di dalam zon bahaya krisis Perlembagaan,” katanya.

Anwar berkata, beliau mengakui negara sedang berdepan dengan kemelut dan ia bukan masa untuk bermain politik kerana waktu ini adalah masa untuk bersatupadu serta merungkai serta merencana tindakan tuntas.

“Perlembagaan mesti dihormati, apatah lagi di saat krisis hari ini. Sejarah telah menyaksikan banyak diktator yang mengambil kesempatan di saat kemelut bagi memajukan agenda jahat mereka sambil mengorbankan negara dan undang-undang.

“Saya menggesa Perdana Menteri dan Peguam Negara untuk bersikap konsisten dalam memetik peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan, dan menerima Perlembagaan secara keseluruhannya, dan bukan petik ikut suka,” katanya.

Anwar juga mendedahkan bahawa ada usaha yang sistematik sedang digerakkan untuk menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen bagi melengahkan sesi Parlimen di saat kerajaan gagal mengemudi negara dalam tempoh wabak.

“Malaysia dilihat sebagai antara negara yang paling lemah di pelbagai segi dalam mengawal pandemik, samada perolehan vaksin, tahap ujian saringan dan penggunaan langkah PKP.

“Dalam masa yang sama, ekonomi negara terus lingkup di mana jutaan warga akan jatuh miskin. Malah, ada beberapa pakar ekonomi juga meramalkan kita akan menghadapi kemelesetan yang panjang.

“Mungkin sudah terlambat untuk membetulkan keadaan, tapi untuk mula membetulkannya, Parlimen mesti segera bersidang,” katanya.

Semalam, Idrus dalam kenyataan berkata, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri.

Beliau menjelaskan, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti seksyen 17 dan 18,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here