Program vaksinasi bergerak bantu tingkat liputan vaksinasi – Dr Noor Hisham

0
1

PROJEK rintis program vaksinasi bergerak yang bermula sejak 14 Jun lalu dilihat mampu meningkatkan liputan vaksinasi Covid-19 penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata beliau menyertai lawatan kerja Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, ke projek rintis program berkenaan di sekitar Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, hari ini.

Menurutnya, program itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Persekutuan dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Katanya, bantuan juga diberikan oleh Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Yong Peng, Hospital Pakar Putra, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi.

“Projek rintis program vaksinasi bergerak ini adalah sebahagian daripada usaha IPT tempatan untuk membantu Kerajaan dalam meningkatkan liputan vaksinasi Covid-19 penduduk Malaysia di bawah PICK.

“Sehingga 26 Jun 2021, seramai 1,230 orang penduduk di sekitar Parit Sulong telah divaksinasi melalui tiga kaedah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, tiga kaedah itu adalah melalui PPV satelit di dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat bagi individu yang stabil; perkhidmatan outreach vaksin yang berpusat di Balai Penghulu atau Ketua Kampung di kawasan seperti Semerah dan Kampung Seri Medan; dan lawatan rumah ke rumah dalam kawasan Semerah dan Kampung Seri Medan.

Dr Noor Hisham berkata, lawatan rumah ke rumah dilakukan bagi pesakit yang terlantar di rumah atau warga emas atau orang kurang upaya (OKU) yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke PPV.

“Satu garis panduan bagi pelaksanaan pemberian vaksin rumah ke rumah telah pun disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan segala langkah diambil demi menjaga keselamatan penerima vaksin dan SOP berkaitan dipatuhi.

“Bagi warga emas terlantar yang kelihatan lemah, uzur dan sakit peringkat akhir (terminal illness), penilaian akan dilakukan oleh Pegawai Perubatan terlebih dahulu terhadap kesesuaian pesakit untuk menerima vaksin,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan terutamanya anak muda Batu Pahat, pelajar perubatan International Medical University (IMU) dan pengamal perubatan swasta yang membantu dalam program vaksinasi itu serta berharap ia dapat membantu negara dalam mencapai sasaran liputan imunisasi kelompok dengan secepat mungkin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here