Ibadah korban dibenar di rumah sembelihan, masjid, surau ikut SOP ketat

0
1

IBADAH korban tahun ini dibenarkan dilaksana di pusat penyembelihan dan masjid serta surau yang mendapat kelulusan pihak berkuasa sahaja dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang baru-baru ini telah mengsyorkan beberapa cadangan berhubung ibadah korban kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Menurutnya, beberapa SOP berhubung ibadah korban yang telah diwartakan oleh MKN juga adalah atas nasihat mufti-mufti seluruh negeri dan dalam masa sama ketetapan adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan ini dipersetujui diperingkat Persekutuan untuk dipertimbangkan diperingkat negeri masing-masing dan saya juga ambil maklum ketetapan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri di beberapa negeri baru-baru ini.

“Ibadah korban yang dicadangkan dengan suasana berlakunya pandemik Covid-19 ini untuk dibenarkan adalah bermula pada hari raya Aidiladha dan tiga hari tasyrik iaitu selepas solat sunat Aidiladha hingga jam 6 petang sahaja dengan had kehadiran tidak melebihi 10 orang termasuk petugas

“Pada tiga hari tasyrik pula adalah bermula 6 pagi hingga 6 petang kecuali hari terakhir sehingga waktu Asar,” katanya dalam sidang khas SOP Ibadah Korban yang disiarkan di Facebooknya malam tadi.

Beliau berkata, poses penyembelihan dibenarkan hanya di rumah sembelihan abatoir Jabatan Perkhidmatan Veterinar iiatu sebanyak 27 rumah; rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan (35 rumah) dan masjid serta surau yang mendapat kelulusan.

“Masjid atau surau perlu mendapat kelulusan sama ada daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau Pihak Berkuasa Tempatan atau Pihak Berkuasa Agama atau Pejabat Kesihatan Daerah.

“Penyembelihan korban di masjid atau surau dicadangkan di tanah lapang yang mana proses pemotongan dan membungkus daging korban juga hendaklah dibuat di tempat lapang dengan penjarakan sosial amat penting dan segala SOP perlu dipatuhi,” katanya.

Menurutnya, penyembelihan korban selain di rumah sembelihan hendaklah tidak lebih lima ekor dalam sehari dengan bilangan petugas tidak lebih 10 orang setiap haiwan serta mengambil kira keluasan kawasan sembelihan.

“Agihan daging korban dicadangkan dengan dua kaedah iaitu penghantaran secara langsung kepada peserta dan peserta hadir untuk terima daging korban tetapi kehadiran tidak boleh melebih jumlah petugas dalam satu masa.

“Petugas yang dipilih hendaklah sihat, tidak bergejala dan bukan dikalangan penghidap penyakit kronik, manakala petugas yang sudah mendapat dua dos vaksin diberi keutamaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here