KESEMPITAN hidup semakin menekan ketika ini, dengan situasi Covid-19 yang masih tidak reda menyebabkan banyak pihak terkesan termasuk ada yang terpaksa melakukan perkara di luar kewarasan fikiran.
Perkara itu dikongsi aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang mendedahkan ada pendatang asing yang masuk ke negara ini secara sah memintanya membuat laporan polis semata-mata mahu ditangkap serta dipenjarakan.
Chee Heng atau lebih dikenali sebagi Uncle Kentang berkata, warga asing itu sangat terdesak dan kelaparan kerana tidak mempunyai wang membeli makanan disebabkan tiada kerja.
“Terdesak sungguh. Ada pendatang asing mintak saya report polis suruh tangkap dia. Dia ada passport. Hidup passport.
“Dia mintak buat repot polis dan dia rela mau ditangkap kerana kerja tak ada, makanan pun tak ada.
“Dia kata dia sudah lapar dan dia mau masuk penjara atau lokap kerana dalam penjara pasti ada makanan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Uncel Kentang berkata, dia sedih dengan nasib mereka serta golongan yang ditimpa kesusahan ketika ini serta berjanji akan membantu selagi terdaya.
“Sedih sungguh. Ini adalah realiti hidup yang tertekan. Tak mengapa kita hantar makanan dulu. Nanti kita fikirkan macam mana mau buat report polis,” katanya.
Dalam hantaran lain, Uncle Kentang berkata, dia turut didatangi seorang pakcik pagi tadi, yang meminta sumbangan beras dan keperluan asas untuk anaknya di rumah.
“Mengejar beras di pagi hari. Pagi ini seorang pakcik Melayu datang dan berjumpa saya minta sedikit makanan untuk anak anaknya.
“Sesungguhnya aku bersedih dan aku sebak… pakcik dah tak ada jalan lain hanya datang minta sedikit beras dan makanan asas dapur.
“Ambillah pakcik.. semoga pakcik tabah dan yakin.. Tuhan tidak akan membebankan lebih daripada apa yang kamu mampu tanggung. Semoga Pakcik sabar dan yakin pada-Nya,” tulisnya. – Malaysiapost

