Urusan LTSAAS juga libat wang rakyat – Syed Saddiq

0
1
Subang Airport or Subang Skypark is a major landmark in the Kota Damansara constituency.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan rasa kecewa dan risau berhubung penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) kepada entiti swasta oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Syed Saddiq berkata, LTSAAS adalah salah satu dari sebuah lapangan terbang di bawah rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (Mahb) dan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG).

Beliau berkata, pemilikan saham MAHB dan MAG dimiliki oleh Khazanah Nasional melalui saham Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Sehubungan itu, katanya, urusan berkaitan LTSAAS juga melibatkan wang rakyat.

“Walaupun dasar penswastaan terbukti telah mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara, penswastaan bukan satu alasan untuk mengetepikan prosedur yang telus.

“Mana-mana entiti swasta yang berurusan dengan aset negara harus dibuat melalui tender terbuka dan sekiranya perlu, bawa urusan ini untuk dibahaskan di dalam Dewan Rakyat.

“Malangnya, prosedur yang telus bukanlah satu keutamaan kepada Kerajaan Perikatan Nasional yang melihat penjualan aset negara pada tempoh darurat adalah hal yang biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saddiq berkata, sekiranya urusan jual beli LTSAAS kepada entiti swasta itu diteruskan, anggaran kerugian yang perlu ditanggung MAHB adalah RM11.9 bilion dan MAS harus menanggung kerugian RM1 bilion setahun.

Beliau juga memetik berdasarkan pemberi maklumat berkaitan penjualan itu, Khazanah Nasional telah menghantar surat bantahan bertarikh 11 Mei 2021 kepada Pengerusi Khazanah Nasional merangkap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya menggesa Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan untuk segera melaksanakan tugas menjaga amanah dari rakyat.

“Perkara yang sama ini telah dibangkitkan juga oleh Ketua Pengarah Eksekutif MAHB dan MAG kepada kerajaan Perikatan Nasional yang merayu dan menolak cadangan untuk menjual LTSAAS ini,” ujarnya.

Isu pengambilalihan LTSAAS mula menarik perhatian apabila syarikat pembangunan hartanah, WCT Holdings Bhd yang memiliki Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) dilapor mahu mengambil alih lapangan terbang itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here