Program pemberian vaksin sektor pengangkutan bermula hari ini

0
1

PROGRAM pertama pemberian vaksin sektor pengangkutan bermula hari ini dengan program vaksinasi melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta sektor maritim dikendalikan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Ia diadakan di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Pelabuhan Klang yang akan melibatkan 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan yang mana kapasiti pengendalian PPV ini adalah 1,000 orang sehari.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata LPK juga bertindak sebagai penyelia bagi petugas pelabuhan manakala Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM) menyelia bagi pelaut.

Pendekatan itu katanya, akan memanfaatkan 18,596 orang atau 53 peratus penyelia dan petugas pelabuhan di wilayah tengah yang layak menerima vaksin bagi fasa pertama ini.

“Jumlah keseluruhan penyelia dan petugas pelabuhan di Malaysia adalah seramai 59,155 orang.

“Kriteria kelayakan penerima ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk ibu hamil atau menyusu, atau lain-lain faktor perubatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ka Siong berkata Program Pemberian Vaksin sektor pengangkutan akan diteruskan selepas ini bagi sektor pengangkutan udara bermula 5 Julai di bangunan Terminal Utama KLIA, melibatkan 22,243 petugas lapangan terbang, kakitangan syarikat penerbangan dan petugas kargo.

Bagi sektor pengangkutan awam darat pula, katanya, beberapa PPV akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

“Pemberian vaksin sektor maritim yang diadakan pada hari ini juga adalah sempena Hari Untuk Pelaut Sedunia (Day of the Seafarer) yang diraikan pada 25 Jun setiap tahun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here