PENGERUSI Malaysia Airports, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports yang membantah penswastaan dan pengeluaran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), daripada Rangkaian Lapangan Terbang Kendaliannya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), menegaskan sudah beberapa kali menyuarakan isu berkenaan kepada kerajaan supaya membatalkan hasrat menjual lapangan terbang terbabit.
“Sekali lagi saya telah menyampaikan pandangan dan pendirian saya kepada pemegang tampuk kuasa mengenai kedudukan LTSAAS, Subang.
“Saya telah menyatakan agar kerajaan membatalkan hasrat untuk menswastakan dan mengeluarkan (carve-out) LTSAAS bagi tujuan pengambilalihan oleh pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menekankan bahawa pelan Regenerasi LTSAAS dikemukakan Malaysia Airports adalah sebahagian kerangka besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara iaitu Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.
“Ini merupakan kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan LTSAAS.
“Justeru tidak timbul perkara yang dimainkan oleh kalangan tertentu bahawa saya tidak pernah bersama dengan Malaysia Airports dan Kesatuan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Semenanjung, Sabah & Labuan serta Sarawak (KESMA, KEPEMAB & KEPMAS) dalam usaha menyelamatkan LTSAAS dan kedudukan syarikat secara keseluruhan,” tegasnya.
Zambry berkata, pihaknya menghormati pendirian KESMA, KEPEMAB & KEPMAS kerana mereka mewakili suara warga Malaysia Airports.
“Saya masih menaruh harapan agar kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports agar LTSAAS tidak dijual.
“LTSAAS adalah aset strategik negara yang perlu dipertahankan,” katanya.
Bulan lalu, media melaporkan ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim dikatakan merancang untuk mengambil alih LTSAAS membabitkan nilai RM3.7 bilion.
Sebuah portal berita melaporkan Lim yang juga pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan, WCT Holdings Bhd akan menggunakan anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk mengambil alih dan mengendalikan lapangan terbang itu sehingga 2092.
Lim mengambil alih 60 peratus pegangan dalam SSBB pada 2018 selepas membeli kepentingan berkenaan daripada Tan Sri Ravindran Menon dan rakan niaganya, Datuk Aisamar Kadil Mydin Syed Marikiah melalui jumlah yang tidak didedahkan, dengan cadangan untuk membangunkan semula tanah di sekitar LTSAAS di Subang.
Cadangan terkini itu sudah dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan anggaran pelaburan awal RM3.7 bilion, di mana RM1.7 bilion akan digunakan untuk terminal penumpang dan jet eksklusif yang dijangka dibuka 2027.
Baki RM2 bilion akan digunakan bagi membangunkan bandar lapangan terbang bagi tempoh 10 tahun akan datang. – Malaysiapost

