Rentas negeri untuk beli dadah

0
1

DUA lelaki yang merentas negeri dengan alasan untuk membeli makanan segera di Bandar Bahau, Jempol, ditahan selepas didapati memiliki dadah.

Ia selepas kedua-duanya yang berusia 39 tahun ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Taman Sornam, di daerah itu pada jam 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata kedua-dua suspek berasal dari Kemayan, Pahang dan Batang Kali, Selangor.

Katanya, ketika pemeriksaan, mereka gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran rentas negeri sebelum pemeriksaan lanjut di dalam kereta dinaiki suspek, menemukan dadah di bahagian brek tangan.

“Polis merampas dua paket plastik heroin anggaran berat 110.5 (g) dan dua paket plastik syabu dengan seberat 13.25 g.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dari Kemayan, Pahang dan dipercayai membeli bekalan dadah di Batu Kikir, sebelum mahu pulang semula ke Kemayan,” katanya dalam kenyataan.

Chang Hook berkata, kedua-dua suspek yang berkerja sebagai buruh itu turut memiliki rekod kesalahan berkaitan dadah.

Beliau menjelaskan, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,193.

“Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Selain itu, mereka masing-masing dikenakan kompaun RM5,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here