Rakyat makin murung, segerakanlah bantuan – Pemuda Umno

0
1

KERAJAAN diminta segera memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat yang kemurungan dan tertekan setelah 46 hari ‘dikurung’ sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata punca utama 266 kes bunuh diri ketika PKP antara 18 Mac hingga Oktober 2020 adalah akibat beban hutang selepas hilang pekerjaan.

Katanya, jumlah tersebut tentunya meningkat lebih tinggi jika mengambil kira situasi terkini.

Tetapi ironinya, kata beliau, kerajaan mengumumkan syarikat-syarikat ‘Ah Long berlesen’ untuk segera beroperasi dalam tempoh PKP.

“Fahamilah realitinya…. rakyat makin murung dan tertekan setelah dikurung yang sudah masuk hari ke-46 semenjak PKP 3.0.

“Murung memikirkan simpanan sudah kering, pendapatan hilang, kerja dibuang, berniaga tak jalan, hutang keliling pinggang, sewa rumah dan ansuran kereta tak tertanggung lagi.

“Tertekan mengenang susu, pampers anak tak terbeli, makanan bak kais pagi, gajet untuk pelajaran online anak-anak jauh sekali. Ini bukan suatu ilusi tapi realiti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Asyraf Wajdi berkata Pemuda Umno menerima ratusan cerita seperti itu yang dikongsi rakyat perihal kesempitan mereka setiap hari.

Atas sebab itulah beliau berkata tuntutan rakyat harus segera diambil peduli dan kerajaan perlu segerakan perkara berikut:

  1. Bantuan tunai tambahan buat rakyat (BPN 2.0 dan BPR 2.0 harus dipermudahkan, rayuan rakyat tidak dipersulit dek karenah birokrasi)
  2. Moratorium automatik secara pukal tanpa caj atau faedah tambahan.
  3. i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0
  4. Diskaun bil-bil utiliti yang melambung naik akibat terkurung di rumah.
  5. Bantuan bakul makanan ataupun Food Bank buat rakyat yang susah.
  6. Kawal harga barang keperluan asas yang naik mendadak sepanjang PKP.

“Moga-moga suara rakyat didengari,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here