TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihati individu atau mana-mana pihak supaya tidak lupa diri dan melakukan pengkhianatan yang akhirnya memudaratkan serta memusnahkan Umno.
Mohamad berkongsi kata-kata nasihat itu menerusi rakaman video berdurasi 1 minit di Facebook miliknya, hari ini.
“Nasihat saya, dalam hidup ini jangan kita mudah lupa punca air yang kita minum hari-hari.
“Jangan racun punca air yang kita minum sebab kalau kita racun, kita juga akan mati akhirnya.
“Jadi, jangan lupa asal usul kita. Jangan lupa macam mana punca kita naik, kita naik kerana parti, parti yang telah menaikkan nama kita, jangan pula nak membunuh parti bila sudah menjadi seorang yang terkenal,” katanya.
Semalam, Malaysiapost melaporkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan terus kekal menerajui parti sehingga 2023 selepas Majlis Tertinggi mencapai resolusi bagi menangguhkan pemilihan parti itu.
Sehubungan itu, Mohamad hari ini menegaskan pemilihan parti tidak semestinya ditangguhkan selama 18 bulan iaitu sehingga 2023.
Katanya, pemilihan boleh diadakan lebih awal jika situasi penularan wabak Covid-19 semakin baik. – Malaysiapost
Artikel berkaitan
https://www.facebook.com/104231918021693/posts/320993839678832/

