KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menuntut Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan dakwaannya berhubung kerajaan ingin menjual Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.
Menurutnya, dakwaan dibuat Ahli Parlimen terbabit mencemar nama baik Perdana Menteri dan semua pihak yang terbabit dalam perkara itu.
Beliau berkata, Syed Saddiq hanya mencari populariti dengan membuat dakwaan tanpa sebarang bukti hingga menjadi fitnah.
“Saya terkejut bila menerima satu video Syed Saddiq menuduh ‘kerajaan nak jual Subang Airport sampai tahun 2092 kepada tauke billionaire melalui direct nego’.
“Kemudian, dalam video lain, Saddiq secara spesifik menuduh kerajaan ‘masih ingin menerima cadangan yang diketengahkan oleh tauke WCT (WCT Holdings Bhd),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, LTSAAS dimiliki oleh Kerajaan Malaysia seperti lapangan terbang lain dalam negara dan tidak pernah ada satu pengumuman dibuat sebelum ini yang mengatakan kerajaan ingin menjualnya seperti yang dituduh oleh Syed Saddiq.
“Hari ini kerajaan telah umumkan dengan jelas bahawa kerajaan tiada rancangan untuk menjual hartanah LTSAAS.
“Syed Saddiq dah belajar memfitnah dan berbohong, menuduh kerajaan mahu menjual Subang Airport kepada tauke WCT.
“Saya tuntut Saddiq minta maaf secara terbuka kepada Tan Sri Muhyiddin kerana video tersebut mencemar nama baik Tan Sri dan semua ‘decision makers’ dalam hal ini. Kalau tak ada bukti, minta maaf, dan jangan ulangi fitnah ini,” katanya.
Wan Saiful berkata, adalah satu perkara biasa kerajaan menerima banyak cadangan mengenai LTSAAS, termasuk cadangan dari pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sendiri. .
“Tapi nampaknya Syed Saddiq fokus hanya lawan satu proposal spesifik saja. Yang lain-lain dia tak komen langsung.
“Ada ‘deal’ dengan sesiapakah hingga sanggup berbohong dakwa kerajaan nak jual kepada WCT, atau adakah ini menunjukkan dia tak kompeten dalam menilai maklumat,” sindirnya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk LTSAAS kepada pihak lain.
MOF dalam satu kenyataan memaklumkan, hartanah lapangan terbang dianggap aset strategik kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun, iaitu sehingga tahun 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini.
Menurut kenyataan itu, LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara Kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada tahun 2009.
Dalam perkembangan sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu LTSAAS hari ini, menjawab segala dakwaan.
“Baru baru ni ada seseorang yang terkenal pandai berlakon, mengedarkan video mengenai dakwaannya kononnya Lapangan Terbang Subang telah dijual oleh kerajaan.
“Maka seperti biasa ramailah yang menyambar umpan hidup, maki hamun, sindir-menyindir dan sebagainya. Beginilah penipuan demi penipuan… tak serik serik,” katanya. – Malaysiapost

