Isu LTSAAS perlu dibahas di Parlimen – Noh Omar

0
2

PENGERUSI Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mempertahankan pendiriannya sebelum ini yang menuntut Parlimen bersidang bagi membahaskan tindakan dan perancangan kerajaan dalam menyelesaikan masalah pandemik Covid-19.

Beliau juga menekankan bahawa isu penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang perlu dibahaskan di Parlimen.

“Saya sebagai Ahli Parlimen di Selangor akan membawa isu ini dan kerajaan perlu memberi penjelasan kenapa dan mengapa lapangan terbang ini hendak di jual.

“Saya ada membaca kenyataan beberapa pihak termasuk Datuk Seri Mohamad Hassan Timbalan Presiden Umno yang jelas tidak bersetuju dengan isu penjualan lapangan terbang ini.

“Bukan hanya kebajikan dan bantuan kepada rakyat sahaja tetapi penjualan aset-aset kerajaan juga perlu dijelaskan. Masalahnya sekarang, bila Parlimen nak bersidang?,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Mohamad menzahirkan dukacita dan kesal jika penjualan LTSAAS berlaku kerana lapangan terbang itu adalah aset strategik yang sangat bernilai.

Menurutnya, LTSAAS adalah milikan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang berkepentingan dengan rakyatt melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Pendirian sama turut diutarakan Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menggesa kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports yang membantah penswastaan dan pengeluaran LTSAAS daripada Rangkaian Lapangan Terbang Kendaliannya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), menegaskan sudah beberapa kali menyuarakan isu berkenaan kepada kerajaan supaya membatalkan hasrat menjual lapangan terbang terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here