MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mengekalkan pendirian untuk tidak meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini, kerana ia tidak memberi kesan menangani penularan Covid-19.
Ia sebagaimana titah pandangan Majlis Raja-raja Melayu berkaitan isu darurat seperti yang terkandung di dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
Menurut kenyataan bersama Majlis Presiden PH itu, berkata pihaknya menjunjung kasih di atas titah pandangan Majlis Raja-Raja Melayu terhadap perkara tersebut.
Katanya, darurat yang diisytihar pada 11 Januari lalu tidak memberi kesan kepada usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 dan perlu ditamat segera.
“Malah berdasarkan bukti sains dan data, keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk sejak darurat diisytihar dengan jumlah kes positif dan kematian harian yang kekal tinggi,” katanya kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dibuat secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan mengadakan mesyuarat terakhir pada Julai ini.
“Dalam mesyuarat tersebut, wakil PH akan menegaskan bahawa jawatankuasa perlu menjunjung titah pandangan DYMM Raja-Raja Melayu berhubung isu Darurat.
“Selain itu, menerima bukti sains dan data bahawa darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik Covid-19 dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk tidak melanjutkan Darurat selepas 1 Ogos 2021,” katanya.
Dalam masa sama, Majlis Presiden itu berpendapat, bahawa Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan turut ditamatkan fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos 2021. – Malaysiapost

